Saturday, May 15, 2010

Kesabaran dan Ketabahan

Assalamualaikum..

Kita manusia biasa, kita merupakan khalifah Allah. Allah pasti menguji setiap hamba-hambaNya untuk melihat sejauh mana keimanannya.. dan Allah tidak akan menguji setiap hamba-hambaNya di luar kemampuan seseorang itu. Semakin kita meningkat usia, semakin banyak ujian yang dihadapi. Jangan sesekali menyalahkan takdir dan ketentuan Allah.. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui setiap sesuatu itu. Dalam mengharungi ujian itu, memang perit dan payah tetapi ingatlah setiap ujian yang diberikan oleh Allah adalah untuk menguji keimanan kita.. Harungilah setiap ujian itu dengan bijak dan jangan mengikut nafsu semata-mata.

Semakin umur saya meningkat, semakin banyak ujian yang harus ditempuhi. Saya sedar mengenai tujuan saya hidup di bumi Allah ini ketika berusia 13tahun. Setelah saya mengalami sedikit masalah ketika usia tersebut, saya menyedari segala kekhilafan diri. Alhamdulillah, dengan perkara tersebutlah, saya hari ini menyedari tentang kekuasaan Allah dan ketentuan Allah. Saya juga tidak pernah menyalahkan setiap sesuatu yang terjadi pada diri saya. Sebaliknya, berusaha untuk mengharungi ujian dengan berbekalkan kesabaran dan ketabahan sekeping hati yang mudah rapuh ini.

Kesabaran dan ketabahan amatlah penting dalam mengharungi setiap ujian dari Allah. Jika tiada dua sifat ini, seseorang itu akan menjadi mudah marah dan sentiasa menyalahkan apa yang berlaku terhadap dirinya. Istiqamah dan tawakkal juga perlu ada dalam diri kita disamping berdoa. Terimalah setiap ujian itu, jangan lari dari masalah.. Ia tidak menyelesaikan apa-apa. Dan jangan pula membiarkan syaitan bersorak gembira dengan kemarahan dan api kebencian kerana ego seseorang manusia. Tetapi, harungilah dengan penuh kesabaran dan yakinlah setiap yang berlaku itu punya hikmah..

Mungkin mereka belum memahami dan bertindak sedemikian.. Tetapi saya tidak akan membenci mahupun berdendam dengan seseorang. Itu bukanlah sebahagian dari hidup saya. Walaupun hati terhiris dan hiba dengan tindakan itu, tetapi saya tidak akan bertindak melulu.. Biarkan mereka ingin berbuat demikian, tetapi saya di sini sentiasa mendoakan yang terbaik buat kita semua dan saya diam bukan tanda saya merelakan diri saya begitu.. tetapi tidak mahu memarakkan api mana-mana yang sedang marak.

Buat rakan-rakan, terutamanya yang pernah saya rapat dahulu, maafkan segala kesilapan yang pernah saya lakukan jika ada. Buat rakan saya yang satu itu, tiada sekelumit rasa benci mahupun dendam.. bahkan hati ini sudah jernih. fahamilah saya dan kami. Moga di dalam ingatanmu masih ada kami. Kami di sini sentiasa mendoakan yang terbaik. Buat insan yang pernah saya kenali itu, walau diriku kau sangkakan sedemikian rupa, tetapi aku amat berharap akan perubahan dari dirimu.. Walau luka itu amat dalam, ku cuba sedaya upaya menguatkan diri dan hati ini..

Akhir sekali, lirik di bawah ini merupakan lagu dari kumpulan UNIC, liriknya begitu mendalam bagi diri yang sedang mencari kekuatan ini.. Semoga Allah meredhai kita semua.. Hayatilah..

Wallahua'lam..

Langkah Tercipta

Semalam aku kelukaan,
kecewa kehampaan,
mencalar ketabahan,
mimpi yang sering ku harapkan,
menjadi kenyataan,
namun tak kesampaian.

Allah…
Inginku hentikan langkah ini,
bagaikan tak mampu untuk ku bertahan,
semangat tenggelam,
lemah daya,
haruskah aku mengalah,
namun jiwaku berbisik,
inilah dugaan.

Dan langkahku kini terbuka,
pada hikmah dugaan,
uji keimanan (menguji keimanan),
tak dilontarkanNya ujian,
di luar kekuatan,
setiap diri insan.

Allah…
Pimpinlah diriku,
tuk bangkit semula,
meneruskan langkah,
perjuangan ini,
cekalkan hati dan semangatku,
kurniakan ketabahan,
agar mimpi jadi nyata,
padaMu ku meminta.

Daku mohon agung kudratMu,
wahai Tuhan yang satu,
segalanya dariMu.