Tuesday, March 23, 2010

Wafiy Awliya

Assalamualaikum...

Beberapa bulan yang lalu semasa saya mula-mula membuat blog, abah bertanya kepada saya, "Wafiy Awliya tu apa maksud dia?", tanya abah. Saya tidak ingat sama ada saya memberi jawapan bagi pertanyaan tersebut atau tidak, tapi yang pasti saya tidak menerangkan maksud Wafiy Awliya dengan tepat. Wafiy Awliya adalah Setia Kekasih..

Sebenarnya, sudah lama saya memasang angan-angan untuk memiliki sebuah blog.. Saya selalu menjengah ke blog kakak saya Noor Izzati dan saya mendapati setiap input yang dipostkan oleh beliau sangat menarik dan bermanfaat. Semenjak itu, saya menanam sebuah matlamat dalam diri untuk memiliki blog. Ya, tidak dinafikan, blog mempunyai banyak kebaikan. Dengan adanya blog, kita boleh berinteraksi dengan masyarakat dari seluruh dunia.

Bagi saya, blog boleh membantu saya untuk saya berkongsi pengalaman atau apa jua maklumat yang bermanfaat. Sekaligus mengajar saya untuk berinteraksi dengan masyarakat. Selepas saya bertekad untuk memiliki sebuah blog, saya mencari nama yang sesuai bagi blog saya. Hasilnya, Wafiy Awliya nama yang telah dipilih.. Seperti saya bilang tadi, ia bermaksud Setia Kekasih. Bukan bermakna saya mempunyai kekasih hati dan saya setia bersamanya sampai lautan api sanggup diredah.. tidak, saya bukan jenis begitu. Urusan itu, biar Yang Maha Esa yang menentukannya..


Saya memilih Wafiy Awliya kerana saya hanya mahu setia disisiNya.. menjadi insan yang tidak melupakanNya, tidak berubah arah dan sentiasa mentaati perintahNya. Nama ini mendekatkan saya kepada pencipta saya iaitu Allah, Yang Maha Esa. Pengalaman dahulu membuatkan saya membuka mata betapa saya terlalu jauh dariNya. Pengalaman mengajar saya erti hidup dan tujuan saya untuk hidup di muka bumi ini.

Semakin umur saya meningkat, semakin banyak perkara yang saya sedar, tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi ini bukan mudah. Banyak ujian yang harus ditempuhi, tetapi saya yakin Allah menguji hamba-hambaNya mengikut kemampuan masing-masing. Allah Maha Penyayang, Dia tidak akan menguji di luar kemampuan kita, dan setiap yang berlaku, mengandungi beribu-ribu hikmah yang tersirat di sebaliknya.. InsyaAllah

No comments:

Post a Comment